Pada tahun 1985, ketika Proton Saga mula dikeluarkan sebagai kereta nasional, saya masih di bangku sekolah. Walaupun baru berusia 14 tahun, saya terasa amat bangga dan percaya bahawa rakyat Malaysia mampu melakukan apa sahaja asalkan sanggup berusaha dan bekerja keras.
Rata-rata, rakyat Malaysia ketika itu memuji projek kereta nasional, lebih-lebih lagi apabila kereta tersebut mendapat tempat di Britain di samping memenangi anugerah antarabangsa.
Setelah lulus universiti, saya membeli Proton Wira Aeroback hijau metalik dan sehingga hari ini, setelah 7 tahun bekerja, saya masih memandu kereta yang sama tanpa sebarang masalah.
Saya berbangga membeli dan memiliki Proton kerana tahu saya menyumbang dalam menjayakan agenda negara sebagai sebuah pusat automobil dan sebagai satu-satunya negara Islam dan Dunia Ketiga yang mampu mereka bentuk, membina dan mengeluarkan kereta yang dibeli oleh masyarakat dari Britain hinggalah ke Australia.
Sehingga ke hari ini, saya terasa amat patriotik setiap hari memandu Proton ke tempat kerja atau melihat model-model baru Proton bergerak megah di jalan dan lebuh raya.
Untuk dua dekad, Proton menjadi lambang kesungguhan rakyat negara dalam iltizam penguasaan teknologi dan impian untuk berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju dunia. Semasa berada di luar negara kerana melanjutkan pelajaran, apabila berbicara dengan masyarakat luar tentang pencapaian negara, saya pasti akan menyebut tentang keupayaan automotif negara dan dapat merasakan rasa hormat orang luar terhadap Malaysia.
Saya kira sumbangan besar Proton yang tidak dapat dinilai dari segi harga adalah penerapan keyakinan dan impian untuk maju dalam sanubari rakyat Malaysia. Ini tidak termasuk berbilion ringgit yang disumbangkan Proton daripada cukai keuntungan yang digunakan untuk pembangunan rakyat. Ditambah lagi dengan nilai keyakinan diri yang menjadi lebih ketara kerana setiap kereta nasional yang kelihatan berlegar di jalan raya menjadi pengingat yang setia bahawa rakyat Malaysia boleh dan mampu maju.
Begitu juga semasa krisis kewangan akhir 1990-an, Proton juga menjadi penyelamat kerana pembelian Proton oleh rakyat Malaysia mengelakkan pengaliran mata wang asing ke luar negara. Seluruh negara dunia Islam juga memandang Malaysia kerana tiada satu pun di antara mereka yang memiliki keupayaan automotif seperti Proton.
Proton secara tidak langsung juga menjadi satu-satunya lambang yang orang Islam boleh bergerak maju. Semua ini menjadikan nilai dan erti Proton sebagai terlalu tinggi untuk diterjemahkan dengan wang ringgit. Lebih-lebih lagi Proton mempunyai aset lebih RM5 bilion dan tidak dalam kedudukan berhutang malah untung.
Saya percaya pandangan ini dikongsi oleh ramai pemerhati senyap yang nasionalistik dan patriotik di negara ini. Saya percaya 20 tahun adalah terlalu muda dalam usia automotif. Pada usia yang sama, Korea belum pun memenangi hati pelanggan di seluruh dunia. Kereta-kereta Hyundai misalnya gagal di Malaysia 25 tahun lalu.
Saya percaya Proton akan responsif tentang perubahan global dan keperluan menghasilkan produk dengan material dan penghasilan yang halus, berkualiti, kompetitif dan futuristik. Saya percaya pengiktirafan oleh TUV Pfalz German dari segi kualiti Proton Savvy hanyalah permulaan. Sekiranya Proton berterusan berhempas pulas menambah baik kualiti atas asas yang sudah baik ini, Proton akan bergerak jauh.
Malangnya saya kecewa dengan kecaman, tohmahan, lekehan, kutukan dan penghinaan oleh sebilangan rakyat negara ini yang lebih cenderung supaya Malaysia melupakan sahaja cita-cita memiliki kereta nasional yang maju. Ada yang meminta supaya tidak perlu Proton memaksimumkan komponen tempatan sekali gus ini melemahkan semangat melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) rakyat.
Amat mengecewakan apabila ada yang bermati-matian menyebarkan segala cerita dan meminta rakyat Malaysia supaya tidak membeli Proton. Mengecam Proton menjadi semacam kepuasan dan keseronokan bagi mereka. Seorang pengulas dalam sebuah laman web kereta di Britain, baru-baru ini menyatakan kehairanan beliau kenapa rakyat negara ini begitu dahsyat mengecam Proton, sedangkan dia amat berpuas hati memandu Proton yang dibelinya.
Seorang rakan profesional saya menyatakan pula sekiranya Proton Gen-2 ditukar saja lencananya kepada Honda atau Toyota, sudah tentu berpusu-pusu orang Malaysia membelinya. Proton begitu berharga hinggakan syarikat seperti Volkswagen bersungguh-sungguh mahu menguasai Proton jika dibenarkan.
Saya fikir pengecam Proton harus memikirkan tentang erti dan nilai Proton untuk Malaysia dan negara Islam. Belajarlah daripada orang Korea dan Jepun yang lebih patriotik, nasionalistik dan sentiasa meniup semangat kepada industri automotif negara mereka sehingga berjaya dipasarkan di seluruh dunia.
Hilangnya Proton bererti kita menyerah kalah hatta sudah berada pada kedudukan untuk maju dan berkembang dengan apa yang dicapai hingga kini. Janganlah kita mengkhianati diri sendiri dengan membunuh Proton dan cita-cita negara.
Sunday, January 08, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment